Ahad, Ogos 20, 2017

 

pantun

Top Tab Content
Guru Utama

Guru Utama

guru_utamaAllahyarham Haji Zakaria Bin Haji Wan Abdullah

Dilahirkan pada hari Selasa 7 Mei 1940 bersamaan 29 Rabiul Awal 1359H, di Bukit Puteri, Besut, Terengganu. Anak tunggal kepada Hj. Wan Abdullah Bin Wan Salleh dan Hjh. Minah Binti Ibrahim ini telah dibesarkan dengan didikan agama dan Al-Quran oleh ayahanda beliau sendiri yang merupakan imam dan guru agama di Masjid Pasir Akar, Besut. Setelah tamat alam persekolahan, sekitar awal tahun 60an, beliau telah merantau ke Mentakab, Pahang. Bekerja sebagai pekerja am di Kem Tentera Batu 5, Mentakab. Seterusnya pada tahun 1967 beliau berpindah kerja ke Kem Tentera Batu 10, Kuantan. Berkahwin dengan Hjh. Aminah Binti Mat Salleh pada tahun 1967.

Semasa menetap di Kg. Galing Kecil, Kuantan, sekitar tahun 1970 beliau telah menerima dan mendalami Perguruan Seni Tapak Suci daripada Allahyarham Pak Teh @ Tok Awang di Rompin bersama teman-teman rapat beliau antaranya Allahyarham Chu Aziz dan Allahyarham Pak Atan. Pada tahun 1974, sebelum berpindah balik ke Kem Tentera Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, beliau telah diijazahkan sebagai wakil perguruan daripada Pengasas Bersaudara , Allahyarham Pak Aswan dan Allahyarham Pak Moin di dalam satu majlis khatam perguruan di Kuantan. Antara amanah daripada Pak Aswan dan Pak Moin ialah membawa dan menyebarkan ilmu Perguruan Seni Tapak Suci ini ke Kelantan.

Bermula pada tahun 1975 dengan murid pertama, Allahyarham Yaakob (Abe Kob), Sg. Baru), maka Perguruan Seni Tapak Suci telah berkembang ke seluruh negeri Kelantan. Setelah hampir 5 tahun bergerak secara tertutup dengan bilangan ahli yang semakin ramai, maka pada 2 April 1980, Perguruan Seni Tapak Suci telah berdaftar secara rasmi di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia dengan nama Pertubuhan Seni Silat Tapak Suci Negeri Kelantan (Ruj. PPM (9) dlm R.S.M. 529/79).

Sepanjang 1975 hingga 1980, Pengasas Bersaudara, Allahyarham Pak Aswan dan Allahyarham Pak Moin telah beberapa kali menziarahi Kelantan bagi majlis khatam perguruan. Pada tahun 1980, Allahyarham Guru Utama telah berpindah ke Kem Tentera Desa Pahlawan, Bukit China dan seterunya menetap di Kg. Kok Lanas, Ketereh, Kelantan. Bermula dari tarikh tersebut beliau telah menyerahkan sepenuhnya tampuk kepimpinan perguruan kepada wakil-wakil guru yang dilantik bagi meneruskan penyebaran ilmu Perguruan Seni Tapak Suci.

Antara kebolehan dan kelebihan peribadi beliau ialah bertukang dan mengamalkan rawatan perubatan Islam. Dikurniakan 6 orang cahaya mata, 3 lelaki dan 3 perempuan. Di kalangan anak-anak, hanya anak sulung beliau sahaja yang sempat berguru secara terus dengan beliau dan diijazahkan sebagai wakil guru perguruan. Setelah terlantar koma selama 7 hari di Hospital USM, Kubang Kerian akibat serangan stroke, pada hari Sabtu tanggal 24 Feb 2007 bersamaan 6 Safar 1428H, jam 10.10 pagi, Guru Utama, Allahyarham Hj. Zakaria bin Hj. Wan Abdullah telah menghembuskan nafas terakhir di dalam perjalanan pulang dari HUSM ke rumah beliau. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Kok Lanas (turut disertai oleh YB Ustaz Dato' Mohd Amar) dan telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas.

Al-Fatihah...

Catatan Anakanda (ZieAbeYa)
22 Ramadhan 1432H | 22 Ogos 2011

Bottom Tab Content

Kitab Amalan

icon_kitabKitab Amalan Tapak Suci. Cetakan pertama Januari 2011. Kandungan: Amalan Asas, Doa Nuurun Nubuwwah, Kaifiah Mengisi Jurus, Kaifiah Gerak Seni.

10 Jurus Asas

icon_jurusSepuluh Jurus Asas lengkap dengan nama, keterangan dan ilustrasi. Jurus Satu, Dua Tendat, Dua Jablak, Tiga Tarik, Empat Tendat, Empat Kilas...